1. Ibadah korban bermaksud; menyembelih binatang ternakan pada hari raya korban (10 dzulhijjah) dan hari-hari tasyriq (11, 12 & 13 dzulhijjah) dengan niat mendekatkan diri kepada Allah.
2. Masa ibadah korban bermula apabila terbit matahari pada hari raya korban (10 zulhijjah) dan meninggi sedikit. Namun paling baik dilewatkan sedikit hingga matahari naik segalah dan selepas selesai solat hari raya.
Hukum ibadah korban
1. Hukum ibadah korban ialah sunat muakkad. Makruh meninggalkannya bagi yang mampu. Ibadah sunat ini menjadi wajib jika dinazarkan.
2. Bagi sebuah keluarga, ibadah korban adalah sunat kifayah, iaitu digalakkan seorang ahli keluarga melakukan ibadah korban bagi pihak ahli keluarga yang lain. Abu ‘Ayyub RA menceritakan; “Pada zaman Nabi SAW seorang lelaki menyembelih korban bagi pihak dirinya dan juga ahli keluarganya” (Muwatta’ Imam Malik; 1770).
3. Harus melakukan korban untuk orang telah mati atau meniatkan pahala korban untuknya.
Fadhilah ibadah korban
1. Sabda Nabi SAW; “Tidak ada amalan yang paling disukai Allah pada hari raya korban melebihi dari menyembelih korban. Binatang korban akan datang pada hari kiamat dengan tanduknya, kuku-kukunya dan bulu-bulunya” (Sunan at-Tirmizi; 1496, hasan).
2. Sabda Nabi SAW; “Bagi setiap helai bulu binatang korban satu kebajikan” (Sunan Ibnu Majah; 3127, dhaif).
Syarat-syarat binatang korban
1. Binatang ternakan yang sah dibuat korban ialah; biri-biri (berumur genap 1 tahun), kambing (genap 2 tahun), lembu (genap 2 tahun), kerbau (genap 2 tahun) dan unta (genap 5 tahun).
2. Seekor biri-biri dan kambing hanya untuk seorang. Adapun lembu, kerbau dan unta harus dikongsi tujuh orang.
3. Disyaratkan binatang tidak cacat dengan nyata. Menurut hadis; tidak sah korban dengan binatang yang buta sebelah matanya, yang tempang, yang nyata sakitnya dan yang terlalu kurus (Musnad Ahmad; 18510, isnadnya soheh).
4. Sunat memilih binatang korban yang paling elok. Lagi elok, lagi sempurnalah pahalanya.
Post a Comment