SULTAN JOHOR MEMPENGERUSIKAN MESYUARAT MAJLIS RAJA-RAJA KE -242

SULTAN JOHOR MEMPENGERUSIKAN MESYUARAT MAJLIS RAJA-RAJA KE -242




Istana Negara, 12 Oktober 2016 - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, hari ini mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-242 di Istana Negara.
Mesyuarat selama dua hari itu dihadiri semua Raja Melayu dengan diiringi Menteri Besar masing-masing, manakala Yang Dipertua Negeri Melaka, Pulau Pinang dan Sabah hadir diiringi Ketua Menteri masing-masing.
Sementara itu, Mesyuarat Majlis Raja-Raja Khas akan diadakan Jumaat ini bagi memilih Yang di-Pertuan Agong ke-15. Ketika ini, jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-14 disandang Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkuat kuasa 13 Disember 2011 dan berakhir 12 Disember ini.
Terdapat beberapa faktor yang akan dipertimbangkan oleh Majlis Raja-Raja menerusi undi rahsia bagi menentukan pengganti seterusnya seperti baginda yang dilantik, berkenan untuk menjadi Yang di-Pertuan Agong dan tidak mengalami kelemahan atau ketidakupayaan mental.
Selain itu, baginda yang dilantik adalah Raja yang berada di kedudukan teratas, mendapat sokongan sekurang-kurangnya lima Raja lain serta bukan seseorang yang telah memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong selama dua penggal berturut-turut. Mengikut kebiasaan sebelum proses pemilihan berlangsung, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja terlebih dahulu akan bertanyakan Raja yang seterusnya dalam senarai giliran mengenai kesediaan baginda untuk dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong.
Sembilan Raja kemudian akan membuat undi rahsia dan sekiranya Raja dalam senarai itu mendapat lima undian, baginda dengan rasminya dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong seterusnya. Proses yang sama diulang untuk memilih Timbalan Yang di-Pertuan Agong yang akan memangku jawatan Yang di-Pertuan Agong semasa ketiadaan baginda di dalam negara atau kerana keuzuran.

Post a Comment